BATU PAHAT – Seorang warga emas hampir kehilangan keluarga tersayang apabila rumahnya di Jalan Parit Besar, di sini terlibat dalam kebakaran, kelmarin.
Bagaimanapun, bantuan daripada jiran menyelamatkan isteri, anak perempuan dan tiga cucu kepada Tan Kim Cwa, 73, yang ketika itu berada di rumah dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang.
Kim Cwa berkata, ketika kejadian, dia berada di kebunnya untuk menanam sayur sebelum bergegas pulang selepas dihubungi jirannya.
“Setelah menerima panggilan daripada jiran, saya cuba menghubungi ahli keluarga, namun tiada jawapan menyebabkan saya cukup risau serta terus bergegas pulang.
“Sebaik sampai di rumah, saya lihat ramai yang membantu untuk memadam kebakaran berkenaan dan saya juga lihat kesemua ahli keluarga saya selamat.
“Menurut salah seorang jiran, dia melihat kilat telah menyambar rumah saya dan kemudiannya terlihat api seketika selepas itu,” katanya, di sini kelmarin.
Anaknya, Tan Chee Hue, 34, berkata, semasa kebakaran berlaku, dia sedang tidur di tingkat atas rumah berkenaan dan hanya menyedari kejadian terbabit selepas mendengar namanya dipanggil.
Katanya, dia yang terasa bahang meskipun ketika itu hujan lebat terus bergegas bangun untuk melihat kejadian sebenarnya yang berlaku di rumahnya.
“Sebaik bangun, saya melihat api sudah marak dan jiran berhampiran serta ahli keluarga yang lain, menjerit memanggil nama saya untuk keluar dari rumah dengan segera.
“Setelah keluar dengan keadaan sehelai sepinggang, saya lihat hampir separuh rumah telah terbakar, termasuklah di bilik tempat saya tidur yang mula dijilat api,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Mohd Fauzi Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.49 petang dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Beliau berkata, dia bersama lapan anggota dan satu jentera mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran serta operasi berkenaan tamat sepenuhnya kira-kira sejam kemudiannya.
“Ketika kami sampai di tempat kejadian, kami dapati hampir 80 peratus rumah berkenaan telah terbakar terutamanya di bahagian bumbung rumah yang diperbuat daripada kayu.
“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan, tetapi mengikut saksi kejadian yang melihatnya, kebakaran berkenaan berpunca daripada kilat yang menyambar dan terdapat percikan api di bumbung rumah,” katanya.