“Dalam keadaan panik, saya buka semua pintu kereta dan tarik keluar dua anak manakala isteri pula merentap tangan anak bongsu dan membawa mereka jauh dari kenderaan yang sedang berasap,”
Jasin: Seorang ibu sempat merentap tangan bayinya berusia 13 bulan selepas kereta dinaiki bersama suami dan dua anaknya terbakar ketika berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 177.5, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, lima beranak itu terlelap di lorong kecemasan berikutan Proton Waja dinaiki mengalami kerosakan selepas berehat di Hentian Sebelah Kampung Bemban, di sini, dalam keadaan enjin dimatikan sebelum terbakar.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, pemandu kereta S Arasu, 42, bersama isteri K Letchumy, 38, dan tiga anak berusia 13 bulan, lapan dan 17 tahun dari arah Sungai Siput, Perak menuju ke Taman Tun Aminah, Johor Bahru.
Menurut Arasu, dia sekeluarga bertolak dari Sungai Siput kira-kira jam 8 malam sebelum menyedari lampu hadapan kereta dipandu mengalami masalah kerosakan ketika berhenti rehat di hentian berkenaan.
“Sebelum bergerak balik ke Johor Bahru, saya sudah melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap kereta dan didapati semuanya dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, ketika tiba di pertengahan jalan, lampu hadapan mengalami kerosakan.
“Saya kemudian berhenti di hentian rehat untuk memeriksa keadaan lampu hadapan yang dilihat bermasalah sebelum meneruskan perjalanan secara perlahan-lahan,” katanya.
Arasu berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, lampu hadapan keretanya terus padam lalu dia berhenti di lorong kecemasan dan ketika kejadian tiga anaknya yang berada di tempat duduk belakang nyenyak tidur.
Menurutnya, sementara menunggu rakan yang dihubungi tiba untuk membantu tiba, dia dan isterinya tidur seketika.
Foto
ARASU mendukung anaknya sambil melihat keretanya yang rentung.
“Tiba-tiba isteri saya terjaga selepas terhidu bau hangit disusuli kepulan asap hitam selepas enjin kereta dimatikan.
Saya terus keluar dan cuba menyiram api di bahagian enjin menggunakan air, namun gagal.
“Dalam keadaan panik, saya buka semua pintu kereta dan tarik keluar dua anak manakala isteri pula merentap tangan anak bongsu dan membawa mereka jauh dari kenderaan yang sedang berasap,” katanya.
Menurutnya, beberapa saat kemudian berlaku letupan kecil di bahagian enjin kereta dan api marak ke bahagian bumbung sebelum merebak dan membakar keretanya.
Kata Arasu, dia hanya mampu menyaksikan api marak di bahagian hadapan sehingga merebak membakar keretanya sebelum bomba tiba tidak lama kemudian.