NIBONG TEBAL, 5 Jan (Bernama) -- Selepas 24 jam operasi mencari dijalankan, mayat Koperal Halim Ibrahim, 52, ditemui kira-kira 500 meter dari tempat dia dilaporkan hilang petang Sabtu semasa cuba menyalamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam Sungai Kerian di sini.
Mayat Halim yang bertugas di Balai Polis Batu Kawan, dekat Nibong Tebal ditemui kira-kira 5.40 petang manakala mayat anaknya Mohd Alif Hakim berusia setahun 10 bulan ditemui lebih awal kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata mayat Halim ditemui terapung di permukaan air oleh pasukan skuba tidak jauh dari tempat mayat anaknya ditemui.
Jurucakap itu memberitahu pemberita mayat Halim dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.
Halim dan Mohd Alif Hakim hilang di sungai itu apabila bot yang mereka naiki bersama anggota keluarga dikatakan hilang kawalan menyebabkan Mohd Alif Hakim terjatuh ke dalam sungai.
Berada dalam bot ketika kejadian pukul 6 petang itu ialah isteri anggota polis itu, Waridah Muing, 33, juga seorang anggota polis dan anak perempuan mereka Nor Amira, 5.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, Waridah dikatakan terjun untuk menyelamatkan anak mereka diikuti oleh Halim yang bimbang akan keselamatan isteri dan anaknya itu.
Bagaimanapun Halim berjaya menyelamatkan isterinya dan terjun semula ke sungai untuk mencari anak lelaki mereka, tetapi selepas 10 minit kedua-dua mereka langsung tidak muncul.
Sementara itu, ibu Halim, Siti Fatimah Ahmad, 72, berkata anak kedua daripada enam beradik itu tinggal bersamanya dan beliau juga menjaga Mohd Alif Hakim jika anak lelaki dan menantunya itu yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal keluar bekerja.
Jenazah dua beranak itu dijangka dikebumikan malam Ahad di tanah perkuburan Islam di Tanjung Berembang, dekat Nibong Tebal.