Oleh Mohd Nasif Badruddin, Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz, Mohd Nor Asri Yaacob, Khairul Hamizy Ramlee dan Syazwan Msar
Kuantan: “Ketika saya mahu ke tempat kerja kira-kira jam 7.30 pagi, paras air sungai masih belum melimpah ke tengah jalan raya dan selamat untuk dilalui, namun sebaik sampai di tempat kerja, anak menelefon mengatakan kawasan Sungai Lembing sudah terputus hubungan berikutan jambatan Sungai Charu sudah ditenggelami air,” kata penduduk Kampung Sungai Charu, dekat sini, Wan Kamaruzzaman Wan Ahmad, 54.
Wan Kamaruzzaman yang bekerja sebagai kakitangan awam di bandar ini berkata, ketika melalui jambatan itu pagi semalam, air sungai sudah melepasi paras bahaya, namun masih belum melimpahi jalan.
Namun, dia terkejut selepas dimaklumkan jambatan Sungai Charu sudah ditenggelami air dan terus bergegas pulang ke rumah, namun gagal kerana jalan utama ke rumahnya itu sudah ditutup dan menyebabkan kira-kira 2,000 penduduk di kawasan berkenaan terputus hubungan.
“Keadaan ini menyebabkan saya buntu memikirkan nasib keluarga saya dan bagaimana untuk memindahkan keluarga sekiranya paras air terus naik memandangkan hujan tidak berhenti.
“Pada masa sama, saya juga tidak sempat melakukan sebarang persiapan seperti memindahkan kereta dan perkakas elektrik ke rumah saudara-mara seperti mana yang dilakukan sebelum ini,” katanya, ketika ditemui, di sini, semalam.