Dia antara 60 pemilik kedai di kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, di sini, yang kerugian selepas kedai mereka terbakar, kelmarin.
Kejadian jam 11.15 malam itu mencetuskan suasana panik dan kelam-kabut apabila peniaga berhampiran kedai berpusu-pusu mengeluarkan barangan jualan mereka.
Mohd Faisal yang membuka restoran dan tinggal di tingkat atas kedai dua tingkat miliknya berkata, dalam keadaan panik, dia hanya sempat mengambil dokumen penting termasuk dokumen pengenalan diri.
“Walaupun sesak nafas kerana keseluruhan ruang dilitupi asap tebal, saya bersyukur isteri sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Peniaga pakaian, Maziah Mat, 56, berkata, dia baru membeli pakaian dari China bernilai RM20,000 yang ditempah pelanggan dua hari lalu dan sepatutnya diambil pelanggannya itu semalam, tetapi semuanya menjadi abu.
“Kerana tidak dapat mengawal perasaan sedih, saya pitam beberapa minit sebelum dipapah rakan dan hanya mampu melihat kedai pakaian yang diusahakan musnah terbakar,” katanya yang berasal dari Kampung Telaga Mas, dekat sini.
Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada rakannya pada jam 11.20 malam yang memaklumkan kedai terletak di pekan Rantau Panjang dan terkenal dengan kedai pakaian, kain dan peralatan dapur itu terbakar sebelum dia segera ke tempat kejadian.
Katanya, dia kerugian lebih RM100,000 selepas bekalan pakaian disimpan di kedainya termasuk yang baru dibeli musnah dalam kebakaran itu.
“Sudah lebih 20 tahun saya berniaga di sini dan akibat kebakaran ini, dalam sekelip mata semuanya musnah. “Sebenarnya sejak dua hingga tiga hari lalu saya berasa tidak sedap hati. Tak sangka perasaan tidak sedap hati itu menjadi kenyataan apabila kedai saya musnah terbakar,” katanya.
Peniaga peralatan dapur yang hanya mahu dikenali sebagai Linda, 32, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada rakannya yang memaklumkan kedainya terbakar, namun dia tidak sanggup melihatnya.
“Ketika peniaga lain melihat kedai terbakar, saya hanya menangis di rumah kerana takut melihat kejadian itu selain berharap ia hanyalah mimpi.
“Selepas waktu Subuh tadi (semalam), saya memberanikan diri ke tempat kejadian dan hancur luluh hati saya apabila kedai yang menjadi sumber pendapatan sejak 15 tahun lalu hanya tinggal tapak,” katanya.