Kota Tinggi: Kebakaran 13 bas kilang yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat di sebuah bengkel kenderaan, di sini, semalam menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM600,000.
Bagaimanapun, pemiliknya bernasib baik apabila 30 lagi bas yang diparkir di kawasan sama bernilai RM4 juta terselamat dalam kejadian di bengkel berpagar seluas 0.6 hektar di Jalan Kota Kecil, di sini.
Kejadian jam 4.26 pagi itu menyebabkan 13 bas kilang yang diparkir rapat rosak termasuk tujuh daripadanya hangus, manakala selebihnya mengalami kerosakan di bahagian cermin depan.
Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba tidak sampai lima minit ke lokasi kejadian berjaya mengawal api daripada merebak.
Pengusaha bas terbabit, S Ramakrisnan, 62, berkata, kejadian itu menyebabkannya kerugian besar.
“Nasib baik 30 kenderaan lain termasuklah 23 bas kilang, tiga bas persiaran serta empat lori membabitkan nilai RM4 juta diparkir di bengkel berkenaan dapat diselamatkan dan unit K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan keatas kenderaan yang terbakar.
“Jika tidak, tentu saya akan kerugian lebih besar,” katanya ketika ditemui, semalam. - Harian Metro