MUAR – Seorang lelaki maut selepas tersepit dalam kereta jenis Perodua MyVi dipandunya yang terperosok di bawah sebuah bas dalam kemalangan di Batu 7 Jalan Muar-Pagoh, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, mangsa, Toh Toon Cheng, 47, dari Sengkang, Pagoh meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Mangsa dari arah Pagoh menghala ke Muar dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.
Kejadian itu turut menyebabkan laluan berkenaan sesak sejauh satu kilometer.
Konduktor bas, Mohamad Wahab, 66, berkata, bas itu memulakan perjalanan dari Muar pada jam 10.15 pagi untuk ke Bukit Kepong.
“Bas ini dinaiki lima penumpang dan apabila tiba di tempat kejadian, kereta tersebut berada di laluan ini.
“Pemandu bas tidak sempat mengelak kerana ketika itu keadaan jalan sedikit sesak dan berlaku pelanggaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kesemua penumpang terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat pemandu kereta itu sudah terkulai dan meninggal dunia.
“Saya bersyukur kesemuanya terselamat tanpa sebarang kecederaan termasuk penumpang dan pemandu bas.
“Ini kejadian pertama kemalangan saya lalui selepas lebih lima tahun menjadi konduktor bas,” katanya.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin berkata, seramai sembilan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.30 pagi.
“Kita mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.