KUALA LUMPUR: Seorang pendaki wanita berusia 28 tahun yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Bukit Tabur, Taman Melawati berjaya diselamatkan.
Kira-kira 30 anggota penyelamat dikerahkan untuk mengeluarkan Noor Hasmahani Hashim kira-kira 1.37 pagi Isnin.
Dia dikejarkan ke Hospital Ampang dengan segera.
Noor Hasmahani dipercayai mendaki sendirian sebelum terlibat dengan kemalangan pada pukul 10 pagi dekat check point 11, Bukit Tabur, Ahad.
Dia tersangkut di sebatang pokok di gaung terbabit.
Seorang lagi pendaki wanita yang terlihat Noor Hasmahani, segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Kaha Abdul Halim berkata, anggota-anggotanya mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke lokasi Noor Hasmahani terjatuh.
"Apabila kami menemuinya kira-kira 1.10 petang, dia tersangkut pada sebatang pokok yang terletak dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter," katanya di pintu masuk pusat mendaki Bukit Tabur, Ahad.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan muka ketika terjatuh.
"Dia masih tidak sedarkan diri ketika penyelamat menjumpainya.
"Agak sukar untuk mengeluarkannya dari dalam gaung itu kerana takut kecederaan belakangnya bertambah teruk," katanya.
Kaha berkata, anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ditugaskan untuk mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Dalam operasi itu, seorang anggota penyelamat mengalami kecederaan kaki akibat terkena batu yang jatuh dan seorang lagi cedera di lutut.
Pada 3 Disember lalu, seorang guru Sains di sebuah sekolah swasta, Ng Pee Tat, 32, maut selepas terjatuh ke dalam gaung di kawasan pendalikan itu kira-kira pukul 8 petang.
Beberapa insiden kematian yang berlaku di Bukit Tabur dilaporkan berlaku pada 2000, 2004 dan Mac 2009, melibatkan dua pakar perubatan yang kedua-duanya merupakan pendaki berpengalaman.