KUCHING: Sebuah rumah kebun di Kampung Simboh, Jalan Mambong Sariq di Padawan, dekat sini tertimbus akibat tanah runtuh.
Pemiliknya, John Kolia berkata bagaimanapun mereka bernasib baik kerana rumah konkrit itu dalam keadaan tidak berpenghuni.
Pesara kerajaan berusia 59 tahun itu menambah, mereka hanya mengetahui perkara tersebut setelah anaknya menerima panggilan daripada jiran sekitar jam 11.30.
“Kali terakhir saya ke sini adalah tengah hari semalam (Ahad) untuk mengutip buah durian.
“Syukur kami tidak berada di rumah ini ketika kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Insiden itu disedari oleh jirannya sekitar jam 7 pagi ketika hendak turun bekerja.
Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM4,000.
Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku sekitar awal pagi ketika hujan lebat.
Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat daripada Balai Bomba Siburan menerima panggilan sekitar jam 8.02 pagi.
Dua anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan kerja pemantauan.