PONTIAN - Lapan beranak di Kampung Andek Mori Serkat, Serkat, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami terbakar, dalam kejadian malam kelmarin.
Mangsa, Khamisah Bachok, 50, berkata, dia masih trauma mengenangkan rumah pusaka milik keluarganya itu musnah dalam sekelip mata.
Menurutnya, dia menyedari insiden kebakaran tersebut kira-kira jam 8.30 malam, setelah lampu di tangga rumah berkelip-kelip.
“Kebetulan ketika saya sedang berbual dengan anak angkat, Nur Aini Ladidah, 30, tiba-tiba kepulan asap hitam kelihatan daripada kotak fius di ruang tamu.
“Saya menjerit meminta pertolongan suami, Sulaiman Daeng Karimin, 64, yang ketika itu berada di dapur. Kepulan asap itu bertukar menjadi api yang marak, dan kami segera keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Khamisah berkata, penduduk kampung cuba membantu memadam kebakaran dengan menyimbah air, namun api terus marak membakar rumah kayu itu.
Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, wang yang disimpan dalam almari sebanyak RM1,500 untuk perbelanjaan harian mereka sekeluarga juga hangus terbakar.
Jelasnya, kebakaran itu mengakibatkan dia menanggung kerugian mencecah RM70,000.
“Buat sementara waktu, saya dan anak menumpang di rumah kakak yang terletak di sebelah rumah kami,” katanya.
Dia berharap agar bantuan kediaman dapat diberikan selepas rumah yang didiami hangus terbakar.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Pontian Baru, Khairudin Atan berkata, seramai 13 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.38 malam.
“Anggota dari Balai Bomba Pontian Baru dan Jalan Al-Sagoff tiba di lokasi kejadian pada kira-kira jam 9.07 malam.
“Keadaan jalan kampung yang kecil menyebabkan jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan rumah yang terbakar itu. Hampir keseluruhan bahagian rumah sudah hangus terbakar dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.