MELAKA: Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengejutkan neneknya tidur berjaya menyelamatkan nyawa mereka daripada rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini, kira-kira jam 10.45 pagi tadi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa, Ong Ya Loi, 78, sedang tidur di sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat berstruktur kayu itu manakala cucunya, Tong Tian Sing menonton televisyen di ruang tamu.
Tidak lama kemudian, kanak-kanak itu dikatakan ternampak bahagian depan rumah yang mnempatkan longgokan surat khabar dan barangan permainan terbakar dan api mula marak.
Melihat keadaan itu, dia segera mengejutkan neneknya yang mengalami masalah kaki lalu bergegas keluar menyelamatkan diri melalui pintu belakang.
Seorang jiran berdekatan yang terdengar tangisan kanak-kanak itu kemudian menarik mereka ke kawasan selamat dan menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.
Kebakaran itu turut mengakibatkan tingkat atas sebuah rumah bersebelahan musnah dijilat api.