KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkemaskan dan memperkukuhkan peranan pasukan bomba sukarela dalam menangani insiden kebakaran terutama di kawasan luar bandar dan terpencil yang juah dari balai bomba.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 322 pasukan bomba sukarela dengan keahlian seramai 12,500 di seluruh negara.
Menurutnya, ahli pasukan ini sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa yang diperlukan.
“Mereka memainkan peranan sebagai pasukan bantuan awal atau ‘first responder’ terutama di kawasan terpencil dan jauh dari balai bomba berdekatan sebelum pasukan dari JBPM tiba di tempat kejadian.
"Kita juga telah mengiktiraf ‘respons time’ pasukan bomba sukarela sebagai ‘respon time’ JBPM. Mereka juga boleh melakukan kerja pemadaman dan sebagainya kerana telah kita memberikan latihan secukupnya untuk mereka memberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Bomba Sukarela Zon Pantai Timur dan Selatan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI).
Sebelum itu, dalam ucapan perasmian, katanya, pada masa ini JBPM menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM3,000 kepada setiap pasukan untuk membantu mereka mengurus program dan aktiviti persatuan serta penyelenggaraan kenderaan yang telah dibekalkan oleh jabatan.
Selain itu, setiap ahli pasukan bomba penyelamat juga mendapat faedah perlindungan insurans dengan bayaran premium RM10 sebulan yang ditanggung sepenuhnya kerajaan.
Katanya, dengan perlindungan tersebut, setiap ahli akan mendapat faedah, antaranya perlindungan kematian biasa sebanyak RM22,000, manakala perlindungan kematian dan keilatan kekal menyeluruh mengikut peratusan yang ditetapkan akibat kemalangan adalah RM44,000, bayaran rawatan di hospital dan kecederaan disebabkan kemalangan.
Katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menaruh harapan tinggi kepada JBPM agar dapat membudayakan rakyat negara ini bersama-sama mencegah kebakaran demi memastikan kesejahteraan hidup, mengelakkan kerugian serta kehilangan nyawa.
“Kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan. Setiap tahun kita mengalami kerugian ratusan ringgit dan puluhan kematian akibat kebakaran. Adalah diharapkan melalui program dan aktiviti yang diadakan seperti kempen keselamatan kebakaran, program bomba bersama masyarakat, seminar keselamatan kebakaran, ceramah kebombaan di institut pengajian dari pra sekolah hingga peringkat universiti.
“Selain penubuhan Pasukan Keselamatan Kebakaran (PKK) di bangunan kerajaan dan swasta, penubuhan pasukan kadet bomba dan sebagainya dapat memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat negara ini,” katanya.
Selain itu, JBPM juga telah melaksanakan satu perkhidmatan membantu masyarakat yang ditimpa musibah dengan penubuhan Pusat Sehenti (One Stop Centre) di setiap balai bomba di seluruh negara.
Katanya, program berteraskan perkhidmatan kemanusiaan itu merangkumi penyelarasan pengurusan kepada mangsa ketika pasca kecemasan seperti membantu memohon mendapatkan semula dokumen penting yang musnah dalam kebakaran seperti kad pengenalan, pasport, surat nikah dan penyediaan laporan kebakaran.
“Ia diadakan hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jabatan agama Islam dan lain-lain agensi berkaitan. Pelaksanaan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kesengsaraan mangsa kecemasan dan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan melebihi ekspektasi masyarakat,” katanya.