KUALA KRAI - Keluarga kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Kampung Sungai Johar, petang Khamis lalu, mengadakan solat hajat memohon agar mangsa dapat ditemui dalam masa terdekat.
Ibu mangsa, Sapinah Mohd Zain, 43, berkata, keluarganya mengambil inisiatif solat hajat selepas usaha mencari dan menyelamat masuk hari kedua, kelmarin.
Menurutnya, dia berharap anak kelapan daripada sembilan beradik itu ditemui dengan selamat walaupun peluangnya agak tipis.
“Kali terakhir saya menemui mangsa pada pagi kejadian sebelum meninggalkan anak-anak bersama suami untuk ke bandar Kuala Krai.
“Itu kali terakhir saya jumpa anak kami, selepas itu saya ke Kuala Krai. Sebaik sampai di rumah, saya dimaklumkan kejadian menimpa anak saya,” katanya.
Sapinah berkata, dia tergamam seketika setelah dimaklumkan Noralia Nadirah Rahim, 6, jatuh ke sungai dan ketika itu dia hanya berharap anaknya segera ditemui.
Katanya, sebelum kejadian anaknya merengek meminta abang ngahnya, Mohd Aswadi,22, membelikan basikal untuknya, sedangkan kebiasaannya Noralia Nadirah tidak pernah meminta apa-apa daripada abangnya itu.
Sementara itu, operasi mencari masih diteruskan agensi terlibat seperti PDRM, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Unit Skuba Bomba dan Penyelamat serta Unit Anjing Pengesan (K9).
Ketua Balai Bomba Kuala Krai, Azman Abu Hassan berkata, unit K9 hanya dapat turut serta operasi mencari mangsa pada sebelah pagi sahaja kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan pada sebelah petang.
Operasi bermula jam 8.30 pagi dengan kekuatan 37 anggota akan dihentikan kira-kira jam 6 petang dan disambung keesokan harinya jika mangsa masih belum ditemui.