JOHOR BAHRU - “Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana semuanya hangus. Sudahlah suami tiada, rumah pun kini musnah,” kata seorang warga emas, Sa’adiah Isnin, apabila rumah miliknya terbakar dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi, semalam.
Ibu tunggal berusia 78 tahun itu yang menetap di rumah dua pintu bersama anak dan cucunya di Kampung Sungai Perling, di sini, bagaimanapun bersyukur semua 14 ahli keluarganya terselamat.
Menurutnya, tiada perkataan boleh menggambarkan perasaannya yang melihat rumah musnah dengan pantas di depan mata.
“Saya hanya mampu menjerit tetapi sukar bergerak selain memang menghidap parkinson, namun syukur diselamatkan cucu. Saya sempat bawa tas tangan berisi kad pengenalan dan kad perubatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam kejadian itu, Sa’adiah bersama anak dan menantu serta 10 cucunya berada di rumah.
Jelasnya, waktu itu dia sedang duduk di ruang depan dan beberapa kali terdengar bunyi letupan kecil.
“Saya ingatkan budak baling batu di zink, namun tidak lama kemudian nampak api.
“Anak lelaki saya keluar sebentar ketika itu, yang ada hanya cucu kebanyakan sedang tidur. Akibat jeritan saya, semua terjaga dan menolong membawa saya keluar dari rumah,” katanya.
Manakala cucunya, Maisarah Farhanah Mohamad Safari, 17, berkata, dia terdengar jeritan neneknya lalu bangun dan melihat api sedang marak.
Menurutnya, dia cuba mengambil air untuk memadamkan api tetapi tidak berjaya.
“Dalam masa tidak sampai lima minit, rumah kami musnah. Semua kelengkapan sekolah termasuk buku teks hangus,” katanya.
Seorang lagi cucu Sa’adiah, Nazrul Farhan Mohamad Safari, 16, berkata, sebaik dikejutkan, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan neneknya dan kucing.
Jelasnya, dia berjaya membawa keluar neneknya tetapi gagal mengambil anak kucing dalam rumah kerana api terlalu marak.
Bagi menantu Sa’adiah, Nani Rospelai berkata, dia redha dengan ujian ke atas keluarganya meskipun masih terkejut dengan kejadian dan nilai kerugian yang terpaksa ditanggung.
“Waktu itu, saya sedang bekerja dan mendapati ada tiga panggilan tidak berjawab, sebaik baca khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anak, saya rasa nak rebah.
“Semua keperluan persekolahan anak dan barang rumah musnah dengan anggaran kerugian sekitar RM100,000 bagi dua rumah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Manayi Ibrahim berkata, bantuan segera RM40 bagi setiap individu telah diberikan.
“Selain bantuan kewangan, kami juga memberi keperluan barangan harian dan diri untuk mereka gunakan seperti pakaian, selimut, bantal dan tilam.
“Pada masa sama, kita akan nilaikan kerugian yang ditanggung dan bantuan kewangan bulanan khususnya untuk warga emas terlibat,” katanya.