MENTAKAB – Persediaan persekolahan termasuk wang tunai lebih RM1,000 dan pakaian tujuh anak milik kakitangan Sekolah Rendah Abu Bakar di sini hangus terbakar dalam kejadian jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Mangsa Kelana Putera Abdul Majid 48, yang tinggal di Taman Bukit Cermin bersama isteri Hamidah Harun, 42, ketika kejadian sedang menghadiri dua majlis kenduri di kawasan yang sama.
Hamidah berkata, sebaik pulang dia terkejut melihat asap berkepul keluar dari rumah dan orang ramai memenuhi kawasan sambil beberapa jiran sedang menarik keluar van miliknya.
“Saya baru keluarkan wang tunai lebih RM1,000 pada hari Jumaat untuk persediaan membeli pakaian dan yuran persekolahan anak-anak.
“Semua itu hangus, sebab masa keluar kenduri saya tak bawa beg tangan dan telefon bimbit kerana kenduri di kawasan sekitar rumah saya,” katanya.
Kelana Putera berkata, semua dokumen dan pengenalan diri tidak sempat diselamatkan kerana semasa kejadian tidak ada seorang pun di rumah.
“Kami tinggal sehelai sepinggang, masa kenduri semua anak-anak saya ikut serta. Pakaian, wang tunai semua hangus dalam kejadian itu,” katanya.
Kelana Putera berkata, dia tinggal di situ sejak 1996 dan membayar RM100 sebulan kepada kerajaan negeri Pahang untuk memiliki rumah itu pada harga RM25,000.
Katanya, kerugian sebenar akibat kejadian masih belum dapat ditaksirkan kerana bomba sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca dan nilai kerugian.
“Buat sementara waktu kami tinggal di sebuah rumah di hadapan rumah kami,” katanya.