JOHOR BAHRU – Tindakan pantas seorang pekerja sebuah hotel bajet di Jalan Permas 10, Permas Jaya, di sini, memadamkan api pada kotak elektrik berjaya menyelamatkan bangunan terbabit daripada hangus terbakar, semalam.
Menceritakan kejadian terbabit, Nordin Ahmad, 41, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi sejurus rakan sekerjanya terhidu bau asap daripada bahagian stor yang berada di belakang bangunan hotel berkenaan.
“Kami bergegas memasuki bilik stor berkenaan untuk melihat sendiri keadaannya, sebaik memasukinya tiba-tiba kotak elektrik terbabit itu meletup sebanyak tiga kali dan telah mula berasap. Saya nekad memberanikan diri untuk menutup suis utamanya.
“Akibat letupan itu api mulai marak, saya terus mengambil beberapa alat pemadam api dan cuba memadamkan kebakaran walaupun menyedari bakal berhadapan dengan bahaya selain pelbagai risiko,” katanya, di sini.
Nordin berkata, dia yang khuatir dengan keselamatan kira-kira 30 pelanggan hotel berkenaan yang masih tidur segera membunyikan alat penggera kecemasan dan meminta mereka keluar ke tempat selamat.
“Ketika memadamkan kebakaran dengan hanya menggunakan alat pemadam api, saya tidak fikirkan apa-apa dan hanya terfikir untuk menyelamatkan hotel dan para pelanggan di dalamnya. Syukur semuanya selamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Mohd Syukri Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 8.53 pagi.
Katanya, api bagaimanapun berjaya dipadamkan sebaik sahaja pihaknya sampai ke lokasi kejadian, namun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.