KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas tergelincir ke dalam sungai dalam satu kejadian di Kampung Kesom Che Nordin, Manir, di sini semalam.
Mayat Nor Atikah Baharuddin ditemui pada jam 12.40 tengahari di dasar sungai Kesom selepas kira-kira dua jam gadis malang itu dilaporkan hilang.
Pegawai Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abdullah Zawawi Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakannya termasuk seorang lelaki sedang menyusuri tepi sungai terbabit sebelum tergelincir.
“Ketika mangsa jatuh ke dalam sungai, tiga rakannya yang lain cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal. Ekoran kejadian itu juga, dua daripada rakannya hampir lemas.
“Bagaimanapun, kedua-duanya sempat diselamatkan orang awam tetapi mangsa tidak ditemui sehinggalah lebih kurang dua jam kemudian dijumpai di dasar sungai Kesom oleh pasukan bomba dan beberapa orang awam,” katanya.
Menurut Abdullah Zawawi, mangsa ditemui tiga meter dari lokasi dipercayai lemas dan diserahkan kepada pihak polis untuk diambil tindakan selanjutnya.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan sembilan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri beserta sebuah bot, tujuh anggota Polis Diraja Malaysia dan enam dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia negeri.