SHAH ALAM – Operasi bantuan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat ke atas penduduk yang terperangkap di Manek Urai, Kelantan akan dihantar malam ini.
Naib Presiden Pas, Husam Musa berkata, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, operasi tersebut akan ditangguhkan ke esok pagi.
“Saya baru selesai melawat bilik gerakan banjir di bandar negeri Kelantan. Paras air di sungai utama di seluruh Kelantan menunjukkan peningkatan ketara. Ini menunjukkan peningkatan tahap kritikal di beberapa jajahan seperti Kuala Krai yang sudah sedia teruk. Namun begitu hujan pada waktu ini telah berhenti di seluruh negeri.
“Pihak bomba cuba menghantar bantuan pada malam ini juga dan pihak tentera akan menghantar bantuan pada esok pagi kepada penduduk yang terperangkap di atas sebuah bukit di Manek Urai," katanya.
Difahamkan, operasi bantuan tersebut merupakan percubaan kali ketiga oleh pihak tentera dalam menghulur dan menyampaikan bantuan terhadap mangsa di kawasan itu.
“Pihak Majlis Keselamatan Negara harus menggerakkan lebih banyak jentera dan tenaga bantuan di kawasan kritikal, kemudahan perhubungan utama antara kelantan dan negeri lain telah terputus,” katanya lagi menerusi satu kenyataan hari ini.
Seramai 500 mangsa banjir dikatakan berpindah ke bukit berdekatan ekoran paras air yang meningkat secara mendadak hingga ke paras bahaya.
Sebelum itu, rata-rata mangsa banjir itu dikatakan mendapatkan perlindungan di sebuah pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai.
Namun situasi dilaporkan bertambah kritikal apabila paras air meningkat sehingga menenggelamkan tiga tingkat dari empat tingkat bangunan sekolah.
Husam dalam pada itu turut menghubungi rakan PR bagi menghulur bantuan terhadap mangsa-mangsa banjir.
“Saya telah menghubungi Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya dapat mengirimkan sumbangan tanda solidariti. Alhamdulillah kerajaan Selangor bersetuju dan jumlah bantuan mungkin diumumkan sehari dua ini.
“Saya juga cuba menghubungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi tujuan yang sama tetapi beliau masih berada di luar negara,” jelasnya lagi