KOTA BHARU 30 Dis. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan bercadang untuk melantik pesara bomba sebagai 'Duta Kecil' jabatan berkenaan mulai 2014.
Pengarahnya, Azmi Osman berkata, pesara berkenaan akan bertindak sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat berkaitan aspek pencegahan bahaya kebakaran.
Beliau berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung mampu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan bahaya kebakaran.
"Hasrat kita, mahu ilmu berkaitan dengan bahaya kebakaran yang dimiliki oleh pesara bomba ini dikongsikan kepada masyarakat di luar sana, sekali gus ia mampu mengurangkan risiko.
"Pengalaman ketika bertugas merupakan satu aset penting buat pesara bomba dan pihak jabatan mahu kelebihan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan masyarakat.
"Mereka akan diberikan tugas khusus sebagai duta kecil jabatan walaupun telah meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Jasamu Dikenang di Pejabat JBPM Negeri di Tunjong dekat sini malam tadi.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada warga media Kelantan yang telah banyak memberikan kerjasama kepada jabatan berkenaan sepanjang tahun 2013.
Dalam perkembangan lain, Azmi turut memuji pihak media negeri ini yang disifatkan banyak membantu jabatan dalam memupuk kesedaran tentang bahaya kebakaran kepada masyarakat di negeri ini.
Katanya, sumbangan yang diberikan oleh pihak media sepanjang membuat liputan berhubung tugas- tugas bomba telah mengubah tanggapan masyarakat terhadap bidang tugas jabatan itu.
"Saya akui, peranan yang dimainkan oleh pihak media cukup besar. Harapan saya agar jalinan kerjasama antara media dan jabatan akan lebih kukuh selepas ini," ujarnya.