SEREMBAN 11 Dis. – Kira-kira 2,000 pegawai bomba dan penyelamat Gred KB17 bakal menerima Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) sebanyak RM150 berkuat kuasa Januari 2015.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan memutuskan untuk memberi elaun tersebut khusus kepada pegawai yang memandu dua kategori jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat. “Elaun itu hanya diberikan kepada pegawai berjawatan Gred KB17 yang ditugaskan memandu jentera bomba lima tan ke atas serta jentera Perkhidmatan Penyelamat dan Perubatan Kecemasan (EMRS).
“Imbuhan itu bagi menghargai tanggungjawab, keupayaan serta kemahiran pegawai terbabit untuk mengendalikan jentera yang berharga jutaan ringgit. Elaun tersebut akan diberi bermula 1 Januari 2015,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Pusat Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK) dan Sambutan Hari Inovasi dan Bulan Bahasa Kebangsaan KPKT 2014 di Bandar Enstek, Nilai dekat sini hari ini. Mengulas berhubung PUSPEK, Abdul Rahman memberitahu, pusat berkenaan berfungsi sebagai platform dalam melaksanakan penyelidikan sains, teknologi dan inovasi kebombaan secara profesional. “Usaha tersebut penting kerana pusat tersebut mampu meningkatkan kecekapan jabatan melalui perancangan dan penyelidikan berprestasi tinggi.
“Pusat ini telah dibina di atas tanah seluas 8.4 hektar yang kos keseluruhan mencecah RM29 juta,” katanya. Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya sedang mengkaji untuk mengenakan caj pengurusan sisa pepejal kepada setiap isi rumah. “Kita sedang berbincang untuk mewujudkan sistem bil secara langsung kepada orang ramai berikutan kos pengurusan sisa pepejal semakin meningkat sehingga mencecah RM2.2 bilion setahun. “Kita mendapati jika tiada sumbangan daripada rakyat, mereka tidak berasakan kepentingan dalam menguruskan sisa pepejal, oleh itu kita mahu menggunakan pendekatan di mana pembuang sampah harus bayar,” katanya.
Tambahnya, mekanisme itu adalah sebagai isyarat kepada orang ramai sekali gus meningkatkan kesedaran mereka supaya lebih bijak menguruskan sisa pepejal. “Kita juga telah memikirkan beberapa pendekatan untuk mewujudkan caj berkenaan dan cadangan itu masih diteliti sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.