GEMENCHEH – “Saya tidak sangka kebakaran yang memusnahkan rumah pusaka berusia lebih 50 tahun, 1 Februari lalu sehingga menyebabkan kami lima beranak termasuk ibu hilang tempat tinggal akhirnya dapat didirikan semula oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” luah mangsa kebakaran, Norlia Jaudin, 47, ketika ditemui Sinar Harian sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kampung Gedok Sawah, dekat sini, kelmarin.
Norlia adalah salah seorang daripada lima mangsa kebakaran di negara ini yang menerima bantuan rumah baru bernilai RM40,200 berbanding anggaran harga sebenar mencecah RM70,000 melalui Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Program My Beautiful Neighbourhood Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Norlia berkata, sejak 13 tahun lalu, dia dan anak-anaknya menumpang teduh di rumah pusaka berkenaan dan selepas seminggu menumpang di rumah saudara, dia akhirnya menyewa rumah di Pekan Gemencheh dengan bayaran RM250 sebulan.
"Saya memang berharap dapat mendirikan rumah kembali di tanah pusaka berkenaan, namun tidak mempunyai sumber kewangan besar. Sebelum ini saya ada juga memohon Rumah Mesra Rakyat.
"Malah, selepas kebakaran banyak pihak datang menyiasat punca kebakaran sehingga saya berasa sedih seolah-olah saya punca kebakaran. Bagaimanapun sekitar Ogos lalu, pihak bomba datang bertanyakan sama ada saya mahu memiliki rumah atau tidak dan ia bagaikan mimpi buat kami sekeluarga," katanya, kelmarin.
Turut hadir, Adun Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abd Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Amer Yusof; Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Saadon Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geduk, Pahim Mahmud.
Untuk rekod, projek berkenaan dimulakan sejak 5 September lalu disertai kira-kira 23 anggota bomba dan penyelamat dari seluruh Negeri Sembilan yang mempunyai kemahiran membina rumah.
Sementara itu, Mohd Kamil berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memberikan perkhidmatan di luar bidang kuasanya dengan membantu mangsa kebakaran untuk membina semula rumah terbakar iaitu masing-masing satu di Selangor, Perak,
Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan.
“Program National Blue Ocean strategy (NBOS) 7: My Beautiful Neighbourhood atau Kejiranan Indah dalam empat program utama iaitu pertama menambah baik kawasan perumahan rendah di Taman Lobak, Negeri Sembilan dan kedua pembinaan semula rumah terbakar.
“Manakala ketiga, meningkatkan rondaan keselamatan di stesen LRT dan pusat membeli belah bagi menangani jenayah dan keempat program kebersihan, pengindahan serta penyelenggaraan kemudahan awam yang mana projek perintis dijalankan di Pantai Klebang Melaka," katanya.